Wednesday 18 May 2016

NOVEL SONGKET BERBENANG EMAS

SINOPSIS BAB DEMI BAB
Bab 1: Kalaulah Engkau Mengerti
Setelah penat berlatih bola jaring untuk bertanding dengan pelajar tingkatan enam
rendah, Dahlia berbual-bual dengan Siti Wangi, rakan karibnya mengenai kertas kerja yang
disuruh oleh Cikgu Hisyam.Dia memberitahu Siti Wangi, isi telah dicari tetapi fakta-fakta
masih tidak lengkap.
Kemudian,Kavita datang menemui Dahlia dengan membawa pesanan seorang lelaki
mahu bertemunya di kantin.Dahlia pergi bertemu dengan lelaki itu yang bernama Azhari.
Lelaki itu memberitahu Dahlia ,dia telah habis belajar dan akan mendapat segulung ijazah
pada bulan Ogos nanti. Azhari juga memaklumkan keluarganya akan datang ke rumah
Dahlia untuk tujuan merisik.Dahlia meminta Azhari mengerti bahawa dia masih belajar dan
ingin membantu keluarganya kerana dia merupakan anak sulung.

Bab 2: Detik-detik Hati Tersentuh
Pada petang itu, Azhari menghantar Dahlia pulang ke kampungnya tetapi sehingga
ke jambatan sahaja.Jirannya yang bernama Aton telah menegurnya semasa dia turun dari
kereta Azhari. Aton juga menyindir Dahlia yang selalu balik dengan mengatakan bahawa dia
tidak suka tinggal di asrama. Dahlia membalas sindiran Aton dengan mengatakan bahawa
orang tuanya masih ada. Dahlia tidak suka akan Aton kerana Aton mengatakan emaknya
“tak betul”.
Sewaktu sampai di rumahnya,Dahlia terdengar adiknya, Anggerik menangis
kelaparan. Melati memberitahu emak mereka telah keluar rumah dan belum pulang lagi.
Dahlia terus mendapatkan Anggerik dan memarahi Melati kerana membuat susu yang
terlalu cair. Sebenarnya, susu telah habis. Dahlia telah menyiapkan makan malam
manakala Melati disuruh pergi ke kedai Tauke Lim untuk membeli susu dan gula pasir sekilo
secara hutang.
Selepas itu, Dahlia pergi mencari emaknya di kebun getah. Dahlia terdengar
emaknya bercakap sendirian dan tidak mempedulikan panggilannya.Hati Dahlia benar-benar tersentuh apabila melihat ibunya sebegitu. Emaknya juga tidak mengenalinya menyebabkan
Dahlia menangis.Tiba-tiba, abahnya Embong muncul dan bertanyakan sebab Dahlia di situ
kerana sudah masuk waktu Maghrib. Dahlia menuding ke arah emaknya. Embong cuba
memujuk Saleha balik ke rumah tetapi Saleha mengatakan rumahnya di tengah kebun getah itu dan dia tidak mahu diganggu. Dahlia mencadangkan abahnya supaya mendapatkan bantuan orang kampung sebelum emaknya pergi lebih jauh ke dalam kebun.

Bab 3: Jangan Tinggalkan Kami
Selepas solat Isyak,Dahlia asyik befikir tentang penyakit emaknya itu. Dia tertanyatanya
sama ada emaknya terkena buatan orang. Akan tetapi, Dahlia tidak tahu orang yang
berhasad dengki dengan keluarganya. Akhirnya, Dahlia pasrah dan mengakui bahawa
semua yang berlaku itu adalah ketentuan Allah.Dahlia berdoa agar Allah menguatkan
imannya, memberi ketabahan dan kekuatan untuk melalui hari-hari yang mendatang.Dia
juga berdoa agar emaknya pulih seperti sediakala. Setelah habis berdoa, Dahlia terdengar
suara Nek Kiah,ibu kepada emaknya.
Nek Kiah memarahi Embong kerana mengikat Saleha. Abah Dahlia memberitahu,
beliau terpaksa berbuat sedemikian kerana takut Saleha lari. Nek Kiah memang tidak suka
akan keluarga Dahlia kerana mereka hidup dalam kemiskinan.Nek Kiah membandingkan
keluarga Dahlia dengan anak-anaknya yang lain yang semuanya hidup senang-lenang.Haji
Sulaiman selaku Ketua Kampung Parit Haji Rais datang membawa orang dari Hospital Batu
Pahat. Tujuan kedatangan mereka adalah untuk membawa Saleha mendapatkan
rawatan.Walaupun anak-anak dan Nek Kiah melarang Saleha untuk dibawa ke hospital
namun Embong serba salah menghadapi situasi itu.

Bab 4: Dibuai Kenangan Indah
Dahlia menyelesaikan kerja rumah, kerja sekolah dan membantu Melati menyiapkan
latihan Matematik. Dahlia merebahkan dirinya di sebelah Anggerik.Dahlia mengimbas
kembali pantun yang diungkapkan oleh Azhari sewaktu menghantarnya pulang pada hari
Khamis yang lalu.Dahlia tidak sanggup untuk melukakan hati sesiapa. Dia meminta agar
Azhari mengerti keadaan keluarganya yang belum sempurna. Dahlia juga meminta izin
Azhari untuk membaiki diri sendiri dan keluarganya.
Pada petang Khamis itu, dia dihantar oleh Azhari pulang ke kampung tetapi Dahlia
meminta Azhari memberhentikannya jauh dari rumahnya untuk mengelakkan salah faham
orang kampung. Pada keesokan paginya,Dahlia dikejutkan oleh abahnya yang
menyuruhnya pergi ke sekolah. Embong memberitahu Dahlia bahawa beliau akan
menguruskan hal berkaitan adik-adik Dahlia walaupun sebenarnya beliau sendiri tidak tahu
akan cara untuk menyelesaikan masalah tersebut kerana beliau terpaksa bekerja mencari
nafkah keluarga. Perkara inilah yang menjadi punca beliau tidak mahu menghantar isterinya
ke hospital. Embong pasrah memikirkan masalah tersebut, beliau menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan.
Embong megimbas kembali perbualannya dengan Saleha mengenai ibu mentuanya,
Nek Kiah yang tidak suka akan keluarga mereka. Nek Kiah tidak suka keluarga mereka
disebabkan mereka hidup miskin tidak seperti anak-anaknya yang lain. Anak-nak Salehadan Embong tidak diumpamakan sebagai cucu oleh Nek Kiah. Embong juga teringat
semula peristiwa isterinya pernah memberitahu bahawa sejak kebelakangan ini beliau
terasa ada bayang-bayang mengejarnya.Telinganya juga sering terdengar suara yang pelik-pelik. Badannya juga terasa lemah.
Embong dikejutkan oleh suara Dahlia yang disangkakan isterinya. Embong
memberitahu Dahlia doktor memaklumkan emaknya hanya rungsing, Embong tidak
menceritakan perkara sebenar yang berlaku kepada Saleha di bilik kurungan di hospital itu
kerana bimbang Dahlia tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajarannya.Embong
juga memberitahu bahawa beliau akan memetik buah kelapa sawit Haji Sulaiman pada
keesokannya.Mereka dikejutkan oleh Abu Bakar, adik Dahlia yang sudah tiga hari tidak balik ke rumah dan rela menjadi gelandangan setelah mendapat gred tiga dalam SPM.

Bab 5: Kata Setajam Pedang
Dahlia menaiki bas JMBC berjalur merah untuk ke sekolah.Dia yang sepatutnya
pulang pada hari Sabtu ke asrama tidak berbuat demikian kerana adiknya, Anggerik asyik
menangis.Dahlia tidak rela dituduh mementingkan diri sendiri oleh sebab itu dia pergi ke
sekolah pada hari Ahad itu dari rumahnya. Dahlia sampai lewat ke Sekolah Menengah
Kebangsaan Temenggong Ibrahim iaitu lima minit pukul lapan pagi. Pintu pagar telah
berkunci. Dahlia ternampak Cikgu Salwani, warden asramanya sedang menuju ke bilik guru. Dahlia ditanya oleh Cikgu Salwani punca kelewatannya dan meminta Dahlia berjumpa
dengannya pada petang itu.
Dahlia tidak dapat menumpukan perhatiannya di dalam kelas. Dia asyik teringat
emak, Anggerik dan abahnya. Siti Wangi mengingatkan Dahlia, mereka ada janji temu pada
pukul 2:00 petang untuk membincangkan kertas kerja yang akan dibentangkan pada hari
Khamis. Dahlia memberitahu dia tidak bersedia dan pada petang itu dia hendak melawat
emaknya di hospital. Pada petang itu, Dahlia tidak bertemu dengan Cikgu Salwani kerana
dia risau akan ditanya macam-macam. Dahlia telah keluar dari asrama tanpa kebenaran
wardennya dan terus pergi ke hospital untuk berjumpa emaknya. Dahlia terserempak
dengan Haji Sulaiman ketika di hospital.Haji Sulaiman memaklumkan emaknya telah dibawa ke Hospital Permai, Johor Bahru.


Bab 6: Ditelan Arus Deras
Dahlia telah dihantar oleh Haji Sulaiman ke rumahnya. Haji Sulaiman telah memberitahu abahnya tentang Saleha yang telah dihantar ke Hospital Permai. Abah seolah-olah menyalahkan nasibnya yang sebegitu.Pada petang itu Nek Kiah telah datang ke
rumahnya bertanyakan emaknya yang dikatakan telah dihantar ke rumah orang gila. Dahlia
amat terpukul dengan perkataan “ orang gila” yang dilafazkan oleh Nek Kiah, nenek yang
melahirkan emaknya. Nek Kiah memberitahu beliau geram apabila semua orang bercakap
mengenai emak Dahlia di balai raya.Beliau memberitahu punca emak Dahlia gila kerana
rumah itu dilanggar hantu dan penuh syaitan dan selepas ini mungkin ahli keluarga yang
lain pula akan terkena.Nek Kiah telah mengeluarkan kapur dan menggores pintu rumah dan
pintu tengah dengan tanda campur supaya hantu tidak masuk rumah. Dahlia mengucap dua
kalimah syahadah beberapa kali kerana tidak percaya dengan tindakan neneknya itu.
Segala yang berlaku adalah ketentuan Tuhan.
Tiba-tiba Dahlia dikejutkan dengan jeritan di tebing sungai yang mengatakan Said
telah hilang dibawa arus sungai.Dahlia terus terjun ke dalam sungai untuk mencari Said.
Akhirnya, Dahlia telah menemui Said setelah dibantu oleh seorang pemuda yang bukan
daripada penduduk kampung itu. Malangnya, denyutan jantung Said sudah terhenti. Nek
Kiah telah menyuruh pemuda itu membawa Said keliling rumah tujuh kali kerana dikatakan
nyawanya boleh kembali tetapi malangnya Said telah meninggal dunia.

Bab 7: Berbudi Berbalas Nista
Dahlia menangis setelah pulang daripada menziarahi mayat Said. Embong kehairanan kerana selama ini Dahlia telah dididik berjiwa kuat dan mampu menghadapi setiap dugaan. Selepas itu, Embong ke rumah Aton untuk menziarahi mayat Said. Said merupakan anak tunggal Aton. Aton mencari Embong dan memarahinya dengan mengatakan anaknya,Dahlialah yang menyebabkan Said mati dan Embonglah yang mahu
Said mati. Embong terdiam mendengar kata-kata Aton.Embong turun ke bawah dan masuk
ke dalam kelompok orang ramai di halaman di bawah pokok-pokok getah. Embong
membiarkan Aton berkata-kata tentang dirinya dan Dahlia, beliau yakin kebenaran akan
terbukti kelak. Embong terdengar suara-suara yang mempersoalkan kematian Said dan
percakapan mereka yang semakin menyakitkan hatinya. Namun, Embong tetap bersabar
dan beliau tidak mahu mencari musuh.
Dalam perjalanan pulang ke rumahnya, Embong bertemu dengan Tauke Lim. Tauke
Lim memuji keberanian Dahlia yang cuba menyelamatkan Said. Embong sudah tahu punca
Dahlia menangis setelah pulang dari rumah Aton. Memandangkan masa baru pukul 10.25
pagi , Embong pergi memotong buah kelapa sawit di Parit Haji Kadir. Embong mengimbas
kembali peristiwa pada petang semalam ketika Dahlia sedang memasak di dapur dalam
keadaan yang lemah selepas menyelamatkan Said.Tersentuh hati Embong kerana
sepatutnya masa remaja Dahlia dihabiskan dengan buku-buku pelajaran dan bukan kerja-kerja dapur. Embong bertekad untuk bekerja kuat demi masa depan anak-anaknya. Setelah
tiba di kebun kelapa sawit itu, Embong terbau sesuatu.Beliau ternampak ular sawa sebesar
paha melingkari pokok kelapa sawit. Sewaktu Embong pergi mencari buluh, ular sawa itu
telah hilang. Tanpa diduga, ular itu menjatuhkan tubuh ke arah Embong hingga
menyebabkan Embong panik.

Bab 8: Bayang-bayang Kecelakaan
Dahlia bermimpi buruk tentang ular sawa itu yang cuba membelitnya. Dahlia tersedar apabila terdengar tangisan Anggerik. Anggerik demam panas. Dahlia bercadang
untuk membawa Anggerik ke klinik pada petang itu. Dahlia ternampak dua orang lelaki
bersongkok ke rumah Aton.Dia teringat semula kata-kata orang yang menuduhnya lambat
menyelamatkan Said.
Dahlia melakukan kerja-kerja di dapur sambil mendukung adiknya. Melati meluahkan
kata-kata untuk berhenti sekolah dan mahu Dahlia yang meneruskan persekolahannya.
Melati bertindak sedemikian kerana malu apabila ada orang yang mengatakan emak mereka gila. Dahlia menasihati Melati supaya tidak mendengar kata-kata orang kerana orang itu tidak akan menyenangkan kehidupan mereka.
Embong pulang membawa ular sawa di atas pungkis.Dahlia ketakutan. Embong
kehairanan apabila melihat Dahlia menggeletar ketakutan dan menyuruhnya membuang ular itu. Embong membawa ular itu pulang sebagai bukti beliau telah berjuang dengan maut
untuk menyelamatkan dirinya. Embong cuba mendapatkan Dahlia untuk mengetahui punca
dia ketakutan. Dahlia memberitahu akan mimpinya itu. Embong keluar dari rumah dan pergi
memerhatikan aliran sungai yang deras berhampiran rumahnya itu, dia memikirkan
kesanggupan Dahlia berjuang menyelamatkan nyawa orang lain sehingga sanggup
mengetepikan nyawa sendiri. Tiba-tiba, Embong dikejutkan dengan kehadiran seorang
pemuda Melayu bersama-sama gadis India yang merupakan kawan Dahlia.

Bab 9: Apabila Tamak Menguasai Jiwa
Najib telah datang bersama dengan Kavita untuk berjumpa dengan Dahlia. Najib
melihat kedaifan hidup keluarga Dahlia. Kini barulah dia memahami punca Dahlia menolak
hasratnya untuk datang pada Hari Raya Aidilfitri. Najib mempelawa Dahlia untuk membawa
adiknya ke klinik.
Pada ketika itu, bapa saudara Dahlia, Pak Cik Seman pergi ke rumah Nek Kiah.
Seman memberitahu Nek Kiah dia malu apabila orang bercakap tentang adiknya Saleha
yang telah dibawa ke hospital di Johor Bahru. Seman menuduh Embong mempelajari ilmu
sehingga Leha sanggup berkahwin dengannya yang tidak diketahui asal usulnya. Seman
mencadangkan agar tanah yang diduduki oleh keluarga Dahlia dijual. Seman berjanji
dengan emaknya untuk mencari pembeli. Nek Kiah bersetuju dengan cadangan Seman
apabila mendengar nilai tanah itu yang dapat dijual dengan harga RM15,000.

Bab 10: Selamat Tinggal,Asrama Puteri!
Cikgu Salwani memarahi Dahlia yang telah mengambil keputusan untuk keluar dari
asrama. Beliau memaksa Dahlia untuk memberitahu puncanya tetapi Dahlia hanya
memberitahu bahawa dia ada masalah keluarga. Dahlia tidak mahu menceritakan perkara
sebenar. Cikgu Salwani meminta Dahlia agar jangan keluar dari asrama kerana STPM
tinggal hanya empat bulan sahaja .Dahlia menenangkan dirinya di perpustakaan.
Tiba-tiba dia disergah oleh Kavita yang memberitahu bahawa Cikgu Hisyam, guru
kelasnya ingin berjumpa dengan Dahlia di Bilik Kerjaya. Cikgu Hisyam telah mengetahui
masalah Dahlia daripada Kavita yang pernah berkunjung ke rumah Dahlia. Cikgu Hisyam
mengatakan bahawa Dahlia berpotensi untuk lulus dengan cemerlang dalam STPM.

Bab 11: Pedihnya Melayan Kerenah Anak
Embong marah akan Abu Bakar,anak lelaki tunggal yang tidak boleh diharap dan
suka berseronok sahaja. Abu Bakar kerap tidak pulang ke rumah. Kemarahan Embong
semakin membara apabila Bakar tidak mempedulikan kata-katanya dan terus menunggang
motosikal. Embong teringat kembali ular sawa yang telah diberikan kepada Tauke Lim.Tiba-tiba Embong berasa kesal dan takut. Lamunan Embong terhenti apabila Mawar,anaknya
yang bersekolah di Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang, pulang bercuti. Mawar
memberitahu bahawa dia balik kerana rindu akan emaknya. Mawar bertanya tentang
emaknya tetapi Embong mengatakan nanti Mawar akan tahu sendiri. Pada hari itu, Dahlia
pergi menziarahi emaknya di Hospital Permai. Embong tidak pergi kerana masalah kewangan. Beliau tidak sanggup lagi untuk meminjam daripada Haji Sulaiman dan Tauke
Lim lagi walaupun mereka berdua sangat baik dan suka membantunya.

Bab 12: Air Mata Menitis di Hospital Permai
Dahlia menaiki teksi ke Hospital Permai. Dahlia tiba di situ pada pukul 3:15 petang.
Dia membayangkan kedatangannya disambut oleh emaknya dengan baik. Lamunan Dahlia
dikejutkan oleh seorang wanita berusia 30-an yang bertanya tentang tujuan kedatangannya.
Wanita itu mencadangkan agar Dahlia berjumpa dengan doktor yang merawat emaknya.
Doktor Ridhuan memberitahu Dahlia penyakit ibunya sudah sampai ke tahap berbahaya dan ingin mengetahui hal-hal yang menyebabkan emaknya menjadi sebegitu. Beliau juga
menjelaskan kemungkinan penyakit emak Dahlia berpunca daripada tekanan.
Doktor Ridhuan memanggil Azhari untuk membawa Dahlia melawat emaknya di bilik
16. Dahlia terkejut kerana Azhari bekerja di situ. Azhari memberitahu bahawa dia bekerja
sementara di situ baru dua minggu. Azhari ingin mengetahui punca Dahlia berada di situ.
Dahlia dan Azhari pergi melawat emaknya, tetapi Saleha tidak mengenali anaknya itu dan
dikatakan Dahlia sebagai pengutip hutang. Keadaan tersebut sangat menyedihkan Dahlia.
Emaknya juga menyuruh Dahlia pergi dari situ.

Bab 13: Pahitnya Menelan Kenyataan
Embong terkejut apabila melihat Dahlia pulang dengan kereta yang dipandu oleh
seorang lelaki. Embong berprasangka yang bukan-bukan terhadap Dahlia.Pada malam itu,
Dahlia memberitahu keluarganya supaya tidak risau akan keadaan Saleha yang sedang
dirawat. Apabila Dahlia melihat abahnya keseorangan di pintu barulah Dahlia menceritakan
perkara sebenar. Dahlia tidak mahu adik-adiknya risau akan keadaan emak mereka.
Tambahan pula, Mawar akan menghadapi peperiksaan SRP tidak lama lagi.Dahlia juga
memberitahu abahnya bahawa dia telah keluar dari asrama.Tiba-tiba, Embong terdengar
sesuatu di kandang kambingnya. Embong terkejut apabila melihat dua ekor kambing
peliharaannya telah hilang.

Bab 14: Hilang dari Kandang
Tauke Lim datang kerana mahu membeli kambing Embong.Dia berasa hampa
apabila mendapat tahu kambing tersebut telah hilang.Embong meluahkan rasa kesal kerana kambing itu menjadi harapannya.Embong yakin kambing peliharaannya telah dicuri orang. Embong meminta Tauke Lim memberitahu kepadanya jika ada orang yang ingin menjual kambing kepada Tauke Lim kerana dia ingin memastikan sama ada kambing itu miliknya atau milik orang lain.
Dahlia teringat akan Azhari yang tetap ingin melamarnya walaupun telah mengetahui
keadaan emaknya. Azhari masih ingin mengikat tali pertunangannya dengan Dahlia kerana
ibu bapanya mendesaknya berbuat sedemikian. Kemudian, Dahlia dikejutkan dengan
kedatangan tetamu. Rupa-rupanya yang datang itu ialah rombongan keluarga Azhari yang
ingin merisiknya.

Bab 15: Ingin Mempersunting Bunga di Taman
Keluarga Azhari telah datang merisik Dahlia.Embong berasa berat untuk menerima
lamaran tersebut kerana Dahlia merupakan anak sulung yang menjadi harapan keluarga.
Embong sangat berharap Dahlia dapat belajar hingga ke universiti dan dapat membantu
keluarga. Walau bagaimanapun,ibu Azhari yang mengetuai rombongan itu kerana suaminya
ke Kuala Lumpur. Beliau mengatakan bahawa perkara itu tidak menjadi halangan kepada
ikatan Azhari dan Dahlia. Mereka sanggup menunggu Dahlia hingga tamat pengajiannya.
Akhirnya, Embong menyerahkan keputusan itu kepada Dahlia, cincin merisik diletakkan dia
atas meja. Selepas itu, Embong bersiap-siap untuk menunaikan solat di masjid. Semasa
mandi,Embong telah dipatuk oleh seekor ular di pahanya.

Bab 16: Bisa Ular Tedung
Embong terpaksa dimasukkan ke wad untuk mendapatkan rawatan.Semasa
ketiadaan abahnya, Dahlia terpaksa menguruskan banyak perkara.Melihatkan keadaan itu,
Mawar menyuarakan hasratnya untuk berhenti sekolah agar dapat menjaga adik-adiknya.
Dahlia melarang hasrat Mawar kerana Mawar pernah berjanji kepada emak mereka untuk
memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SRP.
Sewaktu Dahlia melawat abahnya di Hospital Batu Pahat, dia terserempak dengan
Cikgu Hisyam dan Kavita yang kebetulan menghantar Siti Wangi yang pengsan semasa
menjalani latihan bola jaring. Kemudian,Cikgu Hisyam dan Kavita menziarahi abah Dahlia.
Cikgu Hisyam meminta Kavita untuk membuat salinan nota-nota sepanjang Dahlia tidak
hadir ke sekolah supaya dia tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Pada petang itu,Nek Kiah dan Seman datang melawat Embong.Nek Kiah
memberitahu Dahlia sangkaannya bahawa rumah itu berhantu adalah benar kerana seorang demi seorang keluarga Dahlia mendapat bencana. Nek Kiah juga memberitahu tanah itu akan dijual dan menyuruh keluarga Dahlia duduk di kebun di hujung kampung . Dahlia tidak bersetuju dengan cadangan neneknya.

Bab 17: Kupertahankan Tanah Sekangkang Kera
Dahlia tertekan kerana banyak perkara yang difikirkannya. Antaranya ialah
pelajarannya yang banyak ketinggalan disebabkan dia kerap ponteng sekolah, emaknya
yang masih dirawat di hospital, abahnya dipatuk ular sedang dirawat di Hospital Batu Pahat,
adiknya, Abu Bakar tidak boleh diharap untuk membantunya dan juga hasrat Azhari yang
ingin melamarnya. Semasa Abu Bakar balik ke rumah untuk menukar pakaian,Dahlia
memeriksa dompet milik adiknya, dia terkejut apabila terdapat RM120 di dalam dompet
tersebut sedangkan adiknya tidak bekerja.
Azhari datang ke rumah Dahlia untuk mengambil pakaian emak Dahlia.Azhari
terkejut apabila dimaklumkan bahawa abah Dahlia dimasukkan ke Hospital Batu Pahat
kerana dipatuk ular.Selepas Azhari pergi, Nek Kiah datang untuk bertanya tentang
rancangannya untuk menjual tanah tempat tinggal keluarga Dahlia.Jika keluarga Dahlia
mahu terus tinggal di situ mereka perlu membayar sebanyak RM15000 kepadanya. Dahlia
tidak dapat membuat sebarang keputusan.

Bab 19 : Apabila Dua Jejaka Bertemu
Cikgu Hisyam dan Kavita menasihati Dahlia supaya tidak berhenti sekolah
sebaliknya terus bertahan lebih kurang empat lima bulan sahaja lagi sebelum menghadapi
peperiksaan. Namun begitu, Dahlia terasa amat sukar untuk ke sekolah semula kerana
memikirkan adik-adiknya yang memerlukan penjagaannya.
Najib datang ke rumah Dahlia. Najib melihat ada beberapa orang sedang mengukur
tanah di kawasan itu. Dahlia memaklumkan tanah itu akan dijual. Najib bersedia untuk
membayar harga tanah tersebut tetapi Dahlia menolak tawaran Najib. Kemudian, Azhari
pula datang ke rumah Dahlia. Timbul pelbagai persoalan dalam hati Azhari mengenai
hubungan Najib dan Dahlia.
Kedatangan Najib dan Azhari ke rumah Dahlia telah menyebabkan Nek Kiah
memandang serong akan cucunya.Nek Kiah telah memberitahu Dahlia, tanah tersebut telah
ada pembelinya.Oleh itu, Dahlia perlulah bersiap sedia untuk berpindah.

Bab 20 : Ingin Kujunjung Langit
Nek Kiah datang lagi untuk mengingatkan Dahlia tentang tanah tersebut yang akan
dijual. Nek Kiah terkejut apabila melihat Embong ada di rumah. Apabila Nek Kiah bertanya
kepada Dahlia sama ada dia telah memberitahu abahnya tentang hal tanah, Embong
menggunakan kesempatan itu untuk mengenakan Nek Kiah dengan menggunakan parang
yang sedang dipegangnya dengan mengatakan parang itu tajam dan senang hendak potong leher. Selepas itu,Nek Kiah pulang ke rumah. Dahlia memberitahu abahnya dia ingin bekerja bagi membantu meringankan beban abahnya.Akan tetapi, Embong tidak bersetuju kerana beliau mahu Dahlia belajar hingga ke universiti.
Tauke Lim datang ke rumah Embong dan menyatakan kesanggupannya untuk
membayar harga tanah yang mahu dijual oleh Nek Kiah supaya Embong dan keluarganya
dapat terus tinggal di situ. Menurut Tauke Lim, beliau ikhlas membantu demi kebaikan
bersama-sama.

Bab 21: Hijrah Remaja Harapan
Pada pagi itu Dahlia pergi ke balai raya. Pada ketika itu, tidak ramai yang datang ke
balai raya untuk bergotong-royong bagi majlis sambutan Maulidur Rasul yang akan
diadakan malam nanti . Dahlia membantu kerja-kerja memasak di situ. Tauke Lim turut
menyumbangkan barang-barang untuk sambutan tersebut.Haji Sulaiman selaku ketua
kampung amat risau akan hal ini kerana kurang sambutan. Aton dan Abu Bakar turut berada di balai raya itu. Kedatangan Abu Bakar mengejutkan Dahlia kerana dia tidak menyangka adiknya akan membantu kerja-kerja tersebut.
Aton banyak bercakap daripada melakukan kerja. Dia memberitahu Mak Aji, isteri
Haji Sulaiman bahawa Dahlia membawa lelaki silih berganti ke rumahnya. Kata-kata Aton
telah menyebabkan Dahlia bersedih. Abu Bakar yang terdengar akan kata-kata Aton itu
telah hilang sabar dan hampir-hampir memukul Aton tetapi dihalang oleh Haji Sulaiman.
Dahlia terus pulang ke rumah selepas peristiwa itu. Abu Bakar telah memujuk Dahlia.
Dahlia memberitahu telah banyak dugaan yang ditempuhinya. Abu Bakar juga telah
memeluk abahnya dan memberitahu dialah yang telah mencuri kambing milik abahnya.

Bab 22: Kain Merah yang Reput
Abu Bakar telah insaf akan perbuatannya yang terpengaruh oleh kawan-kawannya
yang datang daripada keluarga yang senang. Dia banyak membantu dalam melakukan
kerja-kerja rumah.Abu Bakar bertekad untuk memberi sumbangan kepada keluarganya.
Sewaktu mengemas barang-barang di bawah rumahnya, Abu Bakar terjumpa kain
merah yang hampir reput membalut dua biji telur ayam yang mengandungi jarum peniti,
cincin akik, butiran pasir, dan dua batang paku. Barang-barang ini menunjukkan selama ini
ada orang yang berhasad dengki terhadap keluarga mereka. Abu Bakar ingin menunjukkan
barang-barang itu kepada Embong tetapi dilarang oleh Dahlia. Dahlia menyuruh Abu Bakar
membuangnya ke sungai. Dahlia melarang adiknya menyimpan perasaan dendam.
Dahlia mendapati Nek Kiah sudah beberapa hari tidak kelihatan di rumahnya atau di
mana-mana di kampung itu. Keadaan ini merisaukan Dahlia. Dahlia telah pergi ke rumah
Nek Kiah dan didapati neneknya sedang sakit. Namun begitu, Nek Kiah telah
menghalaunya.

Bab 23: Sinar Kebahagiaan
Dahlia kembali semula ke sekolah. Kehadiran dahlia disambut dengan gembira oleh
kawan-kawannya.Kavita memberitahu Dahlia bahawa Najib begitu berharap agar Dahlia
dapat menerima cintanya. Akan tetapi, Dahlia hanya menganggap Najib sebagai sahabat
sahaja, tidak lebih daripada itu.
Semasa pulang ke rumah, Dahlia amat gembira apabila mendapati emaknya telah
pulang dari hospital. Saleha telah pulih daripada penyakitnya.Azhari juga ada bersamasama
ketika itu. Dahlia mengajak Azhari pergi ke rumah neneknya.Nek Kiah terbaring
dalam keadaan mata yang terpejam. Panggilan Dahlia juga tidak disahutnya.

Bab 24: Runtuhnya Tembok Kesombongan
Nek Kiah tinggal di rumah Embong selepas dimasukkan ke wad selama dua hari.
Nek Kiah berasa bersalah terhadap keluarga Embong. Mereka melayan Nek Kiah dengan
baik. Anak-anak dan cucunya yang lain, termasuk Seman langsung tidak menziarahinya
ketika beliau sakit.
Pada hari itu, hujan turun dengan lebat. Air sungai sudah mula melimpah. Abu Bakar
memaklumkan jambatan telah patah dan orang kampung telah mula mengemas barang-barang untuk berpindah ke balai raya.Embong dah ahli keluarganya turut berkemas untuk
berpindah ke balai raya.
Dahlia dan keluarganya berpindah dengan menaiki bot ke balai raya. Terdengar
rungutan penduduk tentang keadaan yang berlaku itu. Bagi Haji Sulaiman, banjir yang
berlaku itu ada hikmah yang tersendiri.

Bab 25: Inilah Kampungku!
Banjir telah menyebabkan rumah Embong roboh . Nek Kiah telah mengajak Embong
sekeluarga tinggal di rumahnya. Mereka bersyukur akan perubahan Nek Kiah. Nek Kiah
juga tidak lagi menyebut tentang tanah yang hendak dijual itu.
Sebelum semua mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing, Haji Sulaiman telah
menyampaikan ucapan kepada penduduk Kampung Parit Haji Rais. Beliau menyeru agar
penduduk kampung saling membantu antara satu sama lain dan prihatin akan masalah jiran
tetangga.Beliau juga berharap supaya penduduk kampung bersatu dan bersama-sama
menjayakan apa-apa projek di kampung itu keran mereka hidup bermasyarakat.
Kesan daripada kata-kata Haji Sulaiman,penduduk kampung itu mulai insaf dan
mereka telah bergotong-royong membina rumah Embong semula dengan wang sumbangan
parti. Haji Sulaiman bangga akan perubahan sikap penduduk kampungnya. Begitu juga
dengan Tauke Lim.Dahlia amat terharu dan terasa dirinya tidak disisihkan. Tauke Lim
mengusik Dahlia, rumah baharu nanti bolehlah dia naik pelamin.

Bab 26: STPM,akan Kugapai Kecemerlangan
Dahlia sibuk membuat persiapan terakhir sebelum peperiksaan STPM
menjelang.Dalam kesibukan itu, Azhari telah dating dengan ibunya bagi membincangkan
tarikh pertunangan mereka. Keputusan dibuat pada 30 Disember, iaitu selepas Dahlia tamat
peperiksaannya.Dahlia hanya menurut sahaja kehendak keluarga Azhari dan keluarganya.
Selepas tamat peperiksaan,Dahlia berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan
kawan-kawannya.Dahlia juga memberitahu Siti Wangi dan Kavita tentang pertunangannya.
Dahlia juga bercadang untuk bekerja di kilang untuk mencari pengalaman.

Bab 27: Bunga-bunga Kejayaan dalam Genggaman
Cikgu Daim telah datang ke rumah Embong untuk memberitahu bahawa Dahlia telah
terpilih untuk mengikuti pengajian di salah sebuah universiti di Jepun selama empat tahun.
Pemilihan Dahlia dibuat atas cadangan sekolahnya dan Jabatan Pelajaran Johor
berdasarkan pencapaiannya dalam peperiksaan. Sebelum bertolak ke Jepun Dahlia akan
belajar bahasa Jepun di Universiti Malaya selama enam bulan.
Azhari terdengar berita itu ketika dia datang untuk membeli cincin pertunangan
mereka.Dia mengucapkan tahniah dan merelakan Dahlia belajar di Jepun.Dahlia akan
mendaftar di Universiti Malaya sehari selepas dia bertunang dengan Azhari.

Bab 28 : Koi-bito
Dahlia amat gembira kerana hubungan keluarganya dengan Nek Kiah semakin
rapat. Akan tetapi, Dahlia rasa sedikit berduka kerana dia akan ke Kuala Lumpur selepas
pertunangannya.Nek Kiah telah menghadiahkan gelang pusaka kepada Dahlia.
Dahlia teringat kembali kenangannya sewaktu pergi membeli cincin dengan Azhari.
Kawan –kawan Dahlia dan Cikgu Hisyam turut hadir sewaktu majlis pertunangannya. Bas
ke Kuala Lumpur akan bertolak pukul 5:00 petang tetapi rombongan keluarga Azhari belum
juga sampai.Dahlia semakin risau. Abahnya menyuruh Dahlia berkemas untuk bertolak ke
Kuala Lumpur. Haji Sulaiman menyerahkan sumbangan orang kampung kepada Dahlia
sebanyak RM500 termasuk yang diberi oleh Tauke Lim sebanyak RM300.
Akhirnya, Dahlia tiba di stesen bas Bandar Penggaram yang jauhnya kira-kira 17
kilometer dari kampungnya. Azhari datang berjumpa dengan Dahlia dan memberitahu punca kelewatannya kerana jurucakap majlis yang merupakan pak ciknya lambat sampai.Sebelum menaiki bas, Azhari telah menghadiahkan sehelai songket berbenang emas berwarna merah kepada Dahlia.Azhari juga menyebut “Koi-bito” yang tidak diketahui maksudnya. Azhari meminta Dahlia agar menjaga jati diri sebagai orang Melayu walau berada di mana-mana pun.

No comments:

Post a Comment

KARANGAN B : CARA MEMANFAATKAN CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah merupakan momen yang paling ditunggu-tunggu oleh semua orang terutamanya para pelajar. Semua golongan masyarakat tidak kira mud...