Belakangan
ini rakyat negara ini sering didedahkan dengan berita-berita tentang pembuangan
bayi. (A1- pernyataan soalan/tajuk) Terdapat berita tentang bayi
yang dibuang ke dalam tong sampah, ke lubang tandas, ke dalam semak, ke dalam
sungai dan ada yang ditinggalkan di dalam surau, masjid dan di depan pintu
rumah orang. (A2- isu) Lebih menyayat hati kita apabila mayat bayi masih bertali
pusat, dikerumuni semut, berbalut kertas surat khabar, di dalam beg plastik dan
ada yang dibuang ke dalam longkang. Amat menyedihkan apabila terdapat mayat
bayi yang dibuang ke dalam tong sampah digonggong oleh anjing-anjing liar. (A3-
keseriusan isu) Mengapakah manusia
hilang pertimbangan dan sanggup membuang atau membunuh zuriat sendiri? Budaya siapakah yang mengajarkan amalan zalim
dan tidak bertamadun ini? (A4- kehendak soalan)
___________________________________________
Pembuangan
bayi biasanya melibatkan golongan remaja yang bertindak terburu-buru ketika
mengambil tindakan. Kemelut yang semakin serius ini bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyiru
lagi apabila akhbar-akhbar perdana negara sering memaparkan kejadian ini
dalam akhbar mereka dengan begitu meluas tanpa segan-silu. Hal ini bukan sahaja
menyusahkan pelbagai pihak malah imej negara kita akan tercalar. Jadi, sebelum
mencari jalan penyelesaiannya, kita perlulah mengenal pasti sebab musabab yang
menjadi akar umbinya sebelum kemelut ini menjadi barah kerana kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.
Banyak
kajian menunjukkan bahawa punca utama wujudnya masalah ini ialah perhubungan
bebas antara lelaki dengan perempuan(APA).
Pergaulan bebas tanpa batasan dalam kalangan remaja membawa kepada perbuatan
terlanjur dan mengandung anak luar nikah (MENGAPA).
Apabila nasi sudah menjadi bubur, pembuangan bayi atau membunuh bayi dianggap
jalan terbaik (BAGAIMANA). Contohnya,
baru-baru ini akhbar tempatan melaporkan bahawa mayat bayi ditemukan di dalam kolam takungan sampah di
ibu kota dan hasil siasatan menunjukkan bahawa ibunya ialah remaja yang dianiaya
oleh teman lelakinya (CONTOH). Kita dapat rumuskan bahawa pergaulan bebas
tanpa batasan akan menyebabkan perbuatan hina ini berterusan dan menjatuhkan
imej masyarakat negara ini yang sedang membentuk masyarakat penyayang(PENEGASAN/KESIMPULAN).
Kemelut
ini berlaku lantaran kurangnya didikan agama dalam kalangan remaja
kita. Kekurangan ini mungkin akibat kekurangan didikan dan perhatian ibu bapa
serta impak kemodenan yang melanda negara kita. Remaja kita tidak mempunyai
pegangan agama yang tebal dan mudah dipengaruhi oleh desakan seksual mereka
itu. Tanpa didikan agama yang teguh, mereka tidak dapat membezakan sesuatu
perbuatan mereka itu betul atau salah dan tidak dapat membezakan antara hak
dengan batil. Hal ini dapat dilihat apabila remaja perempuan mudah terlibat
dalam kancah perzinaan sedangkan berzina itu haram di sisi agama. Kesannya, banyak
anak luar nikah yang lahir dan akhirnya bayi yang tidak berdosa itu dibuang
demi menutup malu perbuatan remaja yang goyah imannya. Jadi, didikan agama yang
kurang mantap menyebabkan masalah ini kian meruncinng.
Selain
itu, isu ini turut berleluasa kerana institusi kekeluargaan itu sendiri
sudah runtuh. Sudah menjadi kebiasaan kini sesebuah keluarga itu tidak
mempunyai ayah atau ibu untuk mendidik. Ketiadaan ini menyebabkan tanggungjawab
mendidik anak tidak menjadi satu keperluan yang harus dipenuhi dengan baik.
Menurut kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat bahawa 50 peratus masalah sosial
remaja berpunca daripada keluarga yang porak peranda. Ibu atau bapa yang
tunggal sering sibuk mencari tuntutan nafkah untuk menyara kehidupan
keluarganya. Lantaran itu, mereka telah mengabaikan tanggungjawab hakiki mereka
dalam mendidik dan memantau setiap perlakuan anak mereka. Pengabaian ini
akhirnya mengundang padah apabila anak mereka terlibat dalam perbuatan yang
sumbang. Sesungguhnya, keadaan inilah yang menyebabkan masalah pembuangan bayi
menjadi-jadi.
Sikap
masyarakat yang terlalu suka menghukum turut menjadi penyebab pembuangan
bayi ini berlaku. Kita suka menganggap bahawa wanita yang mengandung tanpa
suami ini sebagai melakukan kesalahan tanpa menimbang keadaan yang menjurus
kemelut itu berlaku. Mungkin ada antara mereka yang mengandung disebabkan
tindakan manusia yang durjana sehingga sanggup merogol gadis yang tidak
berdosa. Dalam hal ini, wajarkah remaja itu dipersalahkan oleh perbuatan
manusia yang tidak berhati perut itu? Sememangnya kita harus bersimpati
terhadap mereka tetapi keadaan menjadi lebih rumit apabila terdapat segelintir
daripada ahli masyarakat kita yang lebih suka menunding jari kepada sesetengah remaja tanpa meneliti
punca yang menjadi permasalahan ini. Malangnya, masih terdapat pemikiran
masyarakat yang kolot lalu menyebabkan remaja tidak mempunyai tempat untuk
mengadu masalah mereka sehingga sanggup membiarkan anak mereka berada di tempat
yang tidak sepatutnya daripada dipandang jijik oleh masyarakat. Tegasnya, sikap
masyarakat seumpama ini merupakan pemangkin gejala ini.
Arus
kemodenan terutama melalui media massa telah menyemarakkan masalah ini.
Program dari Barat yang mengaitkan kebebasan dalam pergaulan telah menyebabkan
remaja mudah terpengaruh. Kehidupan moden sering dikaitkan dengan hubungan
seksual yang bebas. Remaja yang baru berumur setahun jagung dan berdarah
setampuk pinang sering dikuasai oleh perasaan ingin mencuba pasti akan
meniru aksi-aksi atau adegan-adegan panas yang terdapat dalam filem Barat bagi
memuaskan nafsu mereka. Mereka tidak lagi berasa takut ketika melakukan perkara
yang terkutuk itu asalkan nafsu berahi mereka dapat dipenuhi. Lantaran itu,
masalah ini terus menerus menjadi sesuatu yang lumrah dan menjadi darah
daging dalam hidup mereka. Sebagai akibatnya, lahirlah anak luar nikah dan
masalah pembuangan bayi semakin sukar dikawal lantaran ingin menutup rasa aib
atas perbuatan ibu bapa yang masih remaja itu.
Sebelum
kudis menjadi tokak, kemelut remaja ini haruslah diatasi
segera. Kita tidak seharusnya mendopang dagu tetapi
pelbagai pendekatan yang proaktif perlulah diambil demi menangani masalah ini
kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Satu daripada langkah
yang perlu dilaksanakan ialah semua lapisan masyarakat hendaklah diberi
pendidikan keibubapaan melalui pelbagai program. Pendidikan ini bertujuan
memberikan buah fikiran mengenai perkahwinan yang sah kepada rakyat. Melalui
cara ini, orang ramai akan menjadi lebih berhati-hati supaya tidak melakukan
perbuatan sumbang. Perkara ini harus ditekankan kepada seluruh rakyat Malaysia
terutamanya para remaja. Sebagai contohnya, program pendidikan keibubapaan
perlu diadakan untuk mendidik remaja tentang perkara yang perlu diamalkan dalam
kehidupan berkeluarga. Tegasnya, orang ramai perlu diberi kesedaran tentang
kesan buruk aktiviti pembuangan bayi.
Selain
itu, pihak berkenaan hendaklah mengadakan ceramah atau kempen pada
peringkat sekolah mahupun peringkat taman-taman perumahan. Melalui program
tersebut, masyarakat dapat diberi kesedaran tentang keburukan pergaulan bebas.
Seperti yang kita ketahui, kes pembuangan bayi berpunca daripada pergaulan
bebas yang dianggap sebagai suatu perkara biasa bagi warga urban kini. Kita
seharusnya mengelakkan diri daripada unsur negatif tersebut supaya tidak
menjadi seperti sudah terhantuk baru nak tengadah. Sebagai contohnya, kempen
kesedaran ini perlu dilakukan secara besar-besaran melalui iklan, risalah dan
lain-lain. Kempen murni ini haruslah dilakukan secaraberketiak ular dan bukannya
hangat-hangat tahi ayam. Sesungguhnya, usaha dinamik dan secara konsisten
ini diperlukan untuk membimbing rakyat supaya sentiasa berada di landasan yang
betul dalam kehidupan.
Langkah
yang seterusnya ialah pihak kebajikan masyarakat perlu menyediakan
perkhidmatan kaunseling. Khidmat nasihat hendaklah diberikan kepada mangsa
rogol dan individu yang mengandung tanpa nikah. Hal ini disebabkan mangsa mengalami
ketidakstabilan emosi dan mungkin akan cuba mencederakan diri sendiri. Sebagai
contohnya, mangsa rogol sanggup membunuh diri kerana tidak dapat menerima
kenyataan sebenar. Penubuhan Rumah Sri Puteri oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat
dapat memberikan perlindungan dan khidmat nasihat kepada mereka yang telah
terlanjur ini. Oleh hal yang demikian, pusat kaunseling perlu diperbanyak di
seluruh negara untuk membantu mangsa-mangsa tersebut daripada terus melakukan
perkara yang terkutuk.
Di
samping itu, pesalah yang disabitkan kesalahan berzina atau kes rogol perlu
dikenakan hukuman yang berat. Perogol atau orang yang mencabul kehormatan
wanita merupakan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Mereka perlu dijatuhi
hukuman yang berat sebagai peringatan kepada orang lain. Hal ini menyebabkan
wanita-wanita ini kehilangan harga diri dan terpaksa menanggung malu sepanjang
hayatnya. Perkara tersebut juga akan menconteng arang ke muka ahli
keluarga mangsa. Oleh sebab itu, undang-undang negara perlu dikuatkuasakan
supaya perogol atau mereka yang berzina berasa serik atau takut untuk melakukan
perkara tersebut yang salah di sisi agama. Sebagai contohnya, hukuman bagi
kesalahan berzina dan merogol adalah seperti penjara dan hukuman sebat. Hal ini
dapat mengurangkan jenayah pembuangan bayi yang tidak berdosa itu di negara
kita.
Seterusnya, pendidikan
agama dan moral harus dititikberatkan oleh ibu bapa untuk menyedarkan
anak-anak tentang dosa dan balasan yang akan diterima. Ibu bapa hendaklah
menitikberatkan pendidikan agama dan moral kepada anak-anak dan proses ini
hendaklah diteruskan walaupun seseorang itu telah meningkat umur dewasa.
Pendidikan agama dan moral amatlah penting dan perlulah disemaikan dalam
sanubari rakyat. Albert Einstein pernah berkata bahawa agama tanpa ilmu
adalah buta dan ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Hal ini menunjukkan peri
pentingnya didikan agama dan moral dalam kehidupan kita supaya kehidupan tidak
menjadi terumbang-ambing seperti kapal tanpa nakhoda. Sebagai contohnya,
anak-anak perlu diberi didikan agama sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya dengan
menyuruh anak-anak tidak mengabaikan solat kerana bersolat itu dapat mencegah
daripada melakukan kemungkaran. Cara ini adalah efektif untuk mewujudkan
masyarakat yang bebas daripada kes pembuangan bayi.
Kesimpulannya,
masalah pembuangan bayi ini yang disebabkan oleh banyak faktor mempunyai
pendekatan yang tersendiri untuk diatasi jika dikaji secara telus. Pelbagai
pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk
menyelesaikan dan mengurangkan kes pembuangan bayi yang berlaku di negara kita.
Masalah tersebut akan menular dan menjadi duri dalam daging jika tidak ditangani segera ketika negara sedang
berusaha untuk mencapai wawasan 2020. Kerjasama daripada semua pihak adalah
amat penting untuk membendung masalah ini kerana ke bukit sama-sama
didaki, ke lurah sama-sama dituruni.Melalui usaha ini, hasrat kerajaan untuk
melahirkan masyarakat yang sihat dan terbilang dari segi lahiriah dan rohaniah
dapat direalisasikan.
No comments:
Post a Comment